SARIKEI, 20 Dis: Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Sarikei akan terus meningkatkan peranannya sebagai jambatan penghubung antara hospital dan masyarakat.
Badan sokongan itu bukan sahaja berfungsi pengukuh hubungan tetapi juga memberi penerangan jelas kepada orang awam tentang kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan pihak hospital.
Pengerusi ALPH, Anthony Tan berkata, pendekatan proaktif itu mampu meningkatkan peranan dan imej institusi kesihatan berkenaan.
“ALPH sebenarnya adalah merupakan satu jambatan antara hospital dengan masyarakat. Jadi, kita berharap kita dapat menyambungkan jambatan itu antara masyarakat dan Hospital Sarikei.
“Jadi apa-apa yang kita dapat buat untuk tahun depan adalah untuk meningkatkan fungsi ALPH kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada Hospital Sarikei semalam.
Sumbangan yang diberikan berupa set kerusi bagi kemudahan orang ramai di ruang menunggu manakala bakul dan troli pula untuk kegunaan pusat hemodialisis.
“Kita melakukan ini bagi meningkatkan fasiliti di hospital ini. Kita daripada pihak ALPH akan melakukan yang semampunya. Sekarang kita ada sedikit peruntukan, jadi peruntukan itu kita beli sesuatu benda, yang bagus yang sesuai untuk hospital bagi meningkatkan kemudahan pesakit,” katanya lagi.
Ia merupakan sumbangan pertama ALPH itu sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dimansuhkan. – TVS