KUCHING, 19 Dis: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera mengatasi isu sekolah dan rumah guru yang usang.
Menurutnya, isu sekolah usang serta keperluan warga pendidik terutama di kawasan pedalaman sudah lama diutarakan dan sering dibincang.
“Tiba masanya kementerian berkenaan memberi tumpuan ke arah tindakan pelaksanaan di lapangan daripada terlalu banyak berbincang di pejabat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perkara yang perlu diberi perhatian serius disusuli tindakan segera oleh Kerajaan Persekutuan baharu.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata lagi, beliau berharap supaya dibina tempat penginapan yang lebih selesa terutama untuk warga pendidik di luar bandar.
Ini akan mendorong lebih ramai warga pendidik bersemangat dan tidak keberatan untuk bertugas dan ditempatkan di pedalaman, ujarnya.
“Pendidikan dan kesihatan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama beliau turut memaklumkan Pusat Khidmat ADUN Semop dengan kerjasama beberapa PIBG dan ahli Saberkas Cawangan Semop telah mengadakan Program Sukaneka Cuti Sekolah 2022.
Program sehari, khas untuk kanak-kanak sekolah ini diadakan tiga hari bermula 17 Disember. Ia melibatkan murid-murid daripada 13 sekolah rendah di sembilan lokasi kampung dan rumah panjang.
Objektif program ini adalah untuk menyediakan aktiviti riadah bagi mengisi masa lapang murid-murid ketika cuti sekolah.
Program yang juga melibatkan ibu bapa dan guru-guru dari setiap sekolah, bertujuan merapatkan silaturahim.
Antara acara yang diadakan ialah pelbagai pertandingan sukan rakyat yang turut menyediakan hadiah kepada pemenang.
Mengulas tentang program cuti sekolah, Abdullah berkata beliau
menyokong program ini susulan cadangan ibu bapa yang tidak berkemampuan membawa anak-anak bercuti di bandar.
“Maka kita aturkan keramaian dan kemeriahan ini ke kampung dan kawasan rumah panjang supaya masa lapang adik-adik yang bercuti diisi dengan aktiviti-aktiviti sihat,” jelasnya.
Selain program sukaneka, Saberkas Cawangan Semop dengan kerjasama Pemuda PBB Cawangan Semop juga mengadakan Program Jelajah Gunting Rambut percuma di beberapa kawasan sekolah sebelum sekolah dibuka semula.
Menurutnya, program ini mendapat sambutan meriah dengan penyertaan pelajar-pelajar dan ibu bapa serta turut dihadiri para pemimpin kampung dan rumah panjang yang menyampaikan hadiah dan saguhati.
Beliau berharap program begini dapat diadakan setiap tahun ketika cuti sekolah. – TVS