SARIKEI, 19 Dis: Peranan Inovasi iCube (iCube Innovation) kini dilihat semakin penting apabila mengambil pendekatan proaktif menganjurkan bengkel menjual kraf tangan menggunakan platform e-dagang semalam dalam usaha memperkasakan ekonomi usahawan desa.
Penganjuran program mampu menjadi akses pasaran yang lebih luas melalui platfrom atas talian sekali gus mempercepatkan pertumbuhan ekonomi usahawan termasuk penggiat industri kecil dan sederhana.
Pengurus strategik Inovasi iCube, Malcolm Wu berkata, ia merupakan program tahunan di bawah edisi artisan dengan memberi fokus kepada penggiat kraf tangan.
“Bagi struktur program, hari pertama adalah fokus kepada bengkel iaitu pengasas beli-beli, bengkel pengendalian jualan kraf tangan atas talian, pembeli melalui platform e-dagang seperti Shopee termasuklah platform beli-beli ini sendiri.
“Pada sebelah petang, kita akan membincangkan cara membuat kraf tangan iaitu tiga jenis cara yang berbeza. Salah satunya adalah anyaman dan satu lagi tudung saji moden dengan jenis bahan yang berbeza,” katanya ketika ditemui media semasa bengkel menjual kraf tangan menggunakan platform e-dagang di Sarikei semalam.
Beliau berkata, pihaknya merancang terus mengadakan program seumpama itu pada masa depan sebagai usaha memperkasakan keupayaan masyarakat dalam menguasai ilmu digital.
Malah beliau berkata, pihaknya yakin program berkenaan mampu memberikan impak positif sekiranya dimanfaatkan dengan sepenuhnya.
“Saya rasa impaknya memang ada kerana kami mendedahkan banyak maklumat kepada orang ramai di Sarikei seperti transformasi digital, ekonomi digital dan alat lain yang boleh digunakan. Walaupun bukan alat yang berteknologi tinggi tetapi paling penting kami mahu melihat orang mencuba daripada tidak mencuba sama sekali,” katanya lagi.
Program selama dua hari itu disertai lebih 50 penggiat kraf tangan yang aktif di Sarikei itu terbahagi kepada beberapa sesi antaranya anyaman, sesi panel dan perbincangan. -TVS