Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.Foto: BERNAMA

Dunia digital diharap tidak menyanggah prinsip asas pemberitaan berpaksikan fakta

ByBernama

KOTA KINABALU, 19 Dis: Arus permodenan dan dunia digital pada masa ini diharap tidak akan menyanggah prinsip asas pemberitaan berpaksikan fakta serta adil kepada subjek yang ditulis, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, biar secanggih manapun teknologi yang digunakan dalam dunia kewartawanan baik media cetak, elektronik atau portal berita, etika dan tanggungjawab sebagai pengamal media tidak pernah berubah.

“Sangat penting melalui kerja pengamal media, maklumat sahih dikongsi dengan orang ramai. Kewartawanan yang baik memainkan peranan penting dalam masyarakat.

“Anda mampu mempengaruhi pemikiran rakyat melalui laporan, mengubah pandangan rakyat malah mengubah landskap sosial dan politik sesebuah negara. Justeru, wartawan perlu membuat laporan dengan bijak, bertanggungijawab dan profesional,” katanya dalam ucapan bagi merasmikan Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2022 di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Menteri Kewangan Il negeri.

Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, yang juga mantan Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) serta Presiden SJA Datuk Muguntan Vanar.

Hajiji berkata, anugerah kewartawanan tahun ini, yang bertemakan ‘Forward in the Digital Age,’ adalah simbolik kepada kesungguhan pengamal media dalam menyalurkan berita tepat, benar dan cepat ketika berdepan dunia digital yang sangat mencabar ketika ini.

Beliau berkata, dengan limpahan maklumat di hujung jari, masyarakat mempunyai tanggungjawab dalam mencari apa yang benar.

“Dalam hal ini, pengamal media adalah tiang yang akan menyokong kepada semua rasa tanggungjawab ini dengan berita yang tepat, benar dan cepat,” katanya.

Pada majlis itu, Bernama meraih anugerah utama Kewartawanan Rencana dan Berita dalam Bahasa Melayu menerusi Rohana Nasrah dan anugerah merit kategori sama menerusi Ketua Biro Fadzli Ramli.

Rohana turut merangkul anugerah utama penulisan terbaik Bahasa Melayu Kategori Perniagaan dan Ekonomi dan Fadzli membawa pulang anugerah merit dalam Bahasa Inggeris kategori Alam Sekitar manakala Arthur Edward meraih anugerah bagi kategori Laporan Berita dalam Bahasa Melayu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan