BATANG KALI, 18 Dis: Proses penggalian tanah runtuhan menggunakan jentera pengaut di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan jentera mengenai mayat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata pada peringkat awal, pihaknya akan mengorek dan mengeluarkan tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki untuk memudahkan mayat mangsa dikesan.
“Kita percaya mayat mangsa berada di dalam atau antara tanah runtuhan dan tanah asal. Jadi untuk mengeluarkannya, kita pada peringkat awal akan menggali atau mengorek tanah runtuhan sedalam tiga atau empat kaki.
“Selepas itu pasukan penggalian akan berhenti dan membuat pemeriksaan sama ada melalui unit anjing pengesan K9 atau secara manual. Jika tiada tanda-tanda menunjukkan mayat, kita akan teruskan penggalian namun secara perlahan untuk elak mayat terkena dengan pengaut jentera tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Norazam berkata proses penggalian tanah runtuhan juga dipantau oleh seorang anggota pasukan penyelamat yang akan memberi panduan dan arahan mengenai cara-cara penggalian dilakukan.
“Kita tak nak mereka (pasukan penggalian) korek tanah itu seperti mereka mengorek tanah untuk kerja-kerja pembersihan tanah. Ia harus dilakukan secara perlahan dan tidak secara dalam,” katanya.
Beliau berkata setakat pagi ini, sebanyak lapan unit jentera pengaut digerakkan ke lokasi dan berkemungkinan ditambah mengikut kesesuaian.
Selain itu, Norazam berkata pasukan penyelamat juga telah mendapat bantuan peralatan Ground Penetrating Radar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu proses pengesanan mayat di dalam tanah.
“Kedua-dua pasukan yang menggunakan peralatan ini telah ditempatkan di sektor A (Hillview) dan Sektor C (Riverside) bagi membantu mengesan lokasi mayat dan juga mengukur ketebalan tanah runtuhan yang berlaku ke atas mangsa-mangsa,” katanya.
Insiden runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkheman itu pada 2.42 pagi Jumaat telah mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa setakat petang semalam, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang. – TVS