BATU NIAH, 18 Dis: Mayat seorang lelaki tanpa identiti yang berada dalam keadaan mereput ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Sungai Balem di Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu di sini, tengah hari tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Rary Binjie berkata, pihaknya menerima panggilan dari pihak polis berhubung kes itu sekitar jam 1 tengah hari.
“Tujuh anggota Bomba telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai, setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat mayat seorang lelaki dalam keadaan tergantung berhampiran pokok kelapa sawit,” katanya ketika dihubungi TVS.
Katanya, ketua operasi kemudian mengarahkan anggota Bomba untuk memotong tali dan memasukkan mayat ke dalam plastik mayat, pihaknya kemudian mengangkat mayat menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan Bomba kemudian memastikan keadaan di lokasi terkawal dan selamat sebelum bertolak balik ke balai dan operasi khidmat membantu mengangkat mayat tamat pada jam 2.45 petang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu ketika dihubungi belum dapat mengulas lanjut berhubung kes tersebut yang masih dalam siasatan pihaknya.
Difahamkan mayat tersebut dipercayai telah mati lebih daripada lima hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat dan mereput, mayat dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
Sehingga berita ini ditulis identiti mayat masih belum dapat pastikan. -TVS