Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, Nur Hilwa Idris Mohd Haris Zaifan ditemukan terapung dalam parit kira-kira 20 meter dari rumah tempat mangsa dikatakan terjatuh pada kira-kira jam 3.40 petang tadi.
“Kejadian dikatakan berlaku ketika ibu saudara mangsa yang berada di rumah sedang bersiap-siap untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana paras air semakin meningkat sebelum mendapati mangsa telah keluar sendiri melalui pintu dapur.
“Mangsa dikatakan terjatuh di dalam air banjir dan dihanyutkan arus dalam kejadian itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.
Rohaimi turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan berhati-hati sepanjang tempoh monsun timur laut (MTL) ini.
“Elakkan anak-anak kecil bermain air di musim banjir kerana membahayakan nyawa mereka.
“Ibu bapa dan penjaga perlu memainkan peranan agar lebih berhati-hati dan peka terhadap keselamatan anak-anak pada musim MTL ini,” kata beliau yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak itu.
Katanya, keprihatinan ibu bapa amat penting supaya musibah seperti itu dapat dicegah daripada berulang. -TVS