TANAH MERAH, 18 Dis: Seorang murid Tahun Lima, Irfan Haikal Khairul yang baharu sahaja selesai berkhatan semalam, terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kelewek di sini, selepas rumahnya dinaiki air.
Irfan Haikal, 11, yang berkhatan di klinik swasta telah dibawa oleh ibunya Suhana Ahmad, 35, ke PPS tersebut kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku sekiranya tidak waspada mengenai situasi banjir di luar jangka ketika ini.
Suhana berkata, beliau telah menghubungi pihak Bomba untuk membawa anaknya ke PPS petang tadi.
“Saya jangka banjir tidak melanda rumah kami tahun ini sebab seperti tahun sebelumnya memang tidak dinaiki air, disebabkan itu saya telah daftar anak saya untuk berkhatan semalam.
“Namun, awal pagi tadi hujan lebat sehingga air naik dengan cepat dan saya rasa sangat bimbang sebab memikirkan keadaan anak tunggal saya yang baharu sahaja berkhatan,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Kelewek, di sini hari ini. – TVS