JAKARTA, 17 Dis: Tourism Malaysia memenangi anugerah Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Terbaik untuk kali ketiga pada Anugerah Pelancongan & Pengembaraan Indonesia ke-13 2022/2023 yang berlangsung malam tadi.
Anugerah yang dianjurkan Indonesia Travel Tourism Awards (ITTA), bertujuan untuk merangsang pertumbuhan dan pembangunan pelancongan Indonesia yang lebih baik.
Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Junus Suhid berkata, melalui pengiktirafan itu Tourism Malaysia berhasrat untuk memulihkan lagi keyakinan di kalangan pemain industri untuk terus mempromosi dan mengetengahkan tarikan dan produk pelancongan Malaysia khususnya di Indonesia.
“Bagi pasaran Indonesia, Tourism Malaysia Jakarta optimis menerima lebih sejuta pelancong Indonesia yang melawat Malaysia untuk tahun 2022 sejak sempadan antarabangsanya dibuka dan semoga untuk tahun 2023 ia akan terus meningkat,” katanya selepas menerima anugerah.
Sebelumnya, Tourism Malaysia memenangi anugerah yang sama pada 2019 dan 2021 di mana pengiktirafan berprestij kali ini sebagai penghormatan kepada Tourism Malaysia atas peranan aktif dan penyertaannya dalam promosi yang konsisten. – TVS