BATANG KALI, 17 Dis: Insiden tanah runtuh yang berlaku sejurus selepas jam 2 pagi, Jumaat di tapak perkhemahan popular di sepanjang Jalan Batang-Kali-Genting Highlands, telah mengorbankan 21 nyawa dan menyebabkan 12 masih hilang setakat jam 7.10 malam, Jumaat.
Seramai 61 orang lagi diselamatkan sepanjang hari daripada tanah dan lumpur dengan dimensi runtuhan kira-kira 500 meter (m), selebar 200m pada kedalaman 8m dengan isi padu runtuhan 450,000 meter padu (m³) di tapak perkhemahan di sini.
Tragedi waktu awal pagi ialah kejadian tanah runtuh ke-23 dilaporkan di seluruh negara tahun ini dan insiden terbaru ini merupakan  tragedi terburuk tahun ini dan melibatkan sebilangan besar jumlah mangsa.
Biarpun menyukarkan tugas mencari dan menyelamat (SAR) di sebalik cuaca hujan yang dibawa Monson Timur Laut (MTL), namun ia tidak mematahkan semangat bilangan besar anggota agensi penyelamat bertungkus-lumus sepanjang masa untuk mencari mangsa yang masih tertimbus.
Difahamkan, pasukan penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor merupakan agensi pertama sampai ke lokasi kejadian pada kira-kira jam 3 pagi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.
Selain itu, anjing pengesan (K9) dan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut dikerah membantu dalam operasi SAR.
Norazam berkata operasi SAR akan diteruskan selama 24 jam sehingga esok, bergantung kepada keadaan cuaca, untuk mengesan 12 lagi mangsa.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Musta Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita atas tragedi tersebut dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluaga mangsa yang terkorban.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan rasa amat sedih dan simpati atas tragedi itu dan berkenan mengutus ucapan takziah kepada semua mangsa dan waris keluarga yang terlibat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan misi SAR dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan dan memohon agar misi tersebut dipermudah.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kerajaan mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai, air terjun, lereng bukit dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara dihentikan operasi serta ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta sehingga arahan baharu dikeluarkan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata isi padu runtuhan adalah 450,000 meter padu.
Susulan kejadian itu, sebagai langkah keselamatan dan memudahkan operasi SAR, polis telah menutup Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands manakala Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi, berkata orang awam boleh menggunakan jalan alternatif ke Genting Hinghlands dengan mengunakkan Jalan Ulu Yam-Batu Caves.
Resorts World Genting, destinasi peranginan bersepadu premier Malaysia, menasihatkan pengunjung yang pergi dan balik dari resort itu supaya menggunakan Lebuhraya Karak melalui laluan Genting Sempah sehingga dimaklumkan.
Beberapa orang guru juga merupakan antara yang berada di tapak perkhemahan itu. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di Kampung Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, memaklumkan kira-kira 20 guru sekolah itu dan ahli keluarga mereka turut berkampung di situ sejak Rabu lalu.
Pengerusinya, U Chin Ong, ketika bercakap dengan pemberita di Balai Polis Hulu Yam Baharu, berkata dua daripada tujuh orang guru ditemukan selamat dan beberapa lagi datang ke balai polis tersebut untuk memberi keterangan.
Penghulu Mukim Hulu Yam, Muhammad Nabil Salehat, berkata insiden tersebut merupakan kejadian tanah runtuh pertama yang serius berlaku di kawasan itu. Tanah runtuh berlaku di Serendah pada 2016, tetapi ia tidak seteruk ini,” katanya. – TVS