LIMBANG, 17 Dis: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berdukacita atas insiden menyayat hati kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Selangor pada awal pagi Jumaat.
Susulan insiden yang mengejutkan negara hingga mengorbankan ramai nyawa termasuk kanak-kanak itu, beliau mengingatkan rakyat di negeri ini agar lebih berwaspada dan berhati-hati terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini.
Peringatan bersama ditegaskan beliau amat penting bagi mengelak berulangnya tragedi malang berkenaan.
“Cuaca tidak menentu dan kita berasa berdukacita dengan apa yang berlaku di Semenanjung ekoran runtuhan tanah ini dan kita juga harus berhati-hati di sepanjang jalan kerana (bencana) kemungkinan berlaku, mudah-mudahan tidak berlaku (di sini) dan kita harus sentiasa berwaspada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas Majlis Pra Krismas Daerah Limbang 2022 Di Dewan Gereja St. Edmund’s, Limbang hari ini.
Difahamkan setakat malam tadi, seramai 21 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian runtuhan tanah di Jalan Batang Kali – Gohtong Jaya, manakala 12 orang lagi masih hilang.
Dilaporkan seramai 94 individu terlibat dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku pada awal pagi Jumaat.
Terdahulu, seramai 135 petugas operasi dan menyelamat (SAR) yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi membendung kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas. – TVS