KUCHING, 17 Dis: Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) terus memainkan peranan dalam merapatkan hubungan industri pelancongan menerusi acara melibatkan masrayakat seperti rumah terbuka Hari Krismas.
Presidennya Audrey Wan Ullok berkata, penganjuran acara kemasyarakatan seperti Rumah Terbuka Hari Krismas sebelum ini menjadi bukti Sarawak peka kepada minat pengunjung yang gemar merasai sendiri keunikan di sini.
“Secara kasarnya, hampir 2 tahun sejak Covid-19 meyerang Malaysia, semua industri termasuk pelancongan kembali normal. Kami bersyukur kerana acara ini dapat dianjurkan pada hari ini setelah ditangguhkan akibat pandemik.
“Sama seperti tahun-tahun lepas, kami telah menganjurkan acara Rumah Terbuka Krismas Sarawak ini untuk pelancong dan penduduk tempatan untuk merasai dan mengambil bahagian dalam sambutan Krismas dan pada masa yang sama memberi tumpuan kepada kempen amal kami untuk mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Rumah Terbuka Krismas di sini, hari ini.
Malah tambah Audrey, objektif penganjurannya itu juga bagi merapatkan jurang perbezaan kaum di Sarawak serta mempamerkan keunikan budaya yang ada kepada pelancong luar mahupun dalam negeri.
“Objektif utama acara ini adalah untuk pelancong dan penduduk tempatan, tanpa mengira kaum atau agama dalam komuniti berbilang budaya kita merasai dan mengambil bahagian dalam sambutan Krismas di Sarawak, yang unik dan tidak ditemui di tempat lain,” katanya. – TVS