SINGAPURA, 17 Dis: Terkenal sebagai lapangan terbang terbaik di dunia, rakyat Malaysia selesa dengan sistem ‘layan diri’ di Terminal 4 Changi, Singapura.
Pertama kali menjejakkan kaki di lapangan terbang berkenaan, Pavithiran Langkadaran, 26, teruja melihat pengoperasian secara automasi Terminal 4 susulan fasaliti itu bersifat mesra pengguna.
“Lapangan terbang ini canggih serta boleh beroperasi sendiri sepenuhnya menjadikan pelanggan tidak perlu berinteraksi dengan kakitangan di sini kerana kita boleh melakukan semua perkara secara sendiri,” katanya.
Pempengaruh TikTok dari Pulau Pinang itu berkata demikian ketika ditemui TVS di Terminal 4 Changi, Singapura, di sini, semalam.
Selain itu, kemudahan kesihatan iaitu klinik yang disediakan di sini bagi Pavithiran menjadikan lapangan terbang antarabangsa berkenaan berada setapak lagi kehadapan dalam sektornya.
“Saya harap lapangan terbang di negara kita juga mencontohi Terminal 4 ini kerana kemudahan klinik yang disediakan akan membolehkan sebarang kes kecemasan mendapat rawatan segera serta mengelakkan sebarang situasi yang tidak diingini berlaku,
“Bukan sahaja ada klinik di sini malahan permainan secara percuma seperti gelongsor juga disediakan kepada pelanggan untuk berhibur sambil menanti penerbangan,” ujarnya.
Pendapat serupa diluahkan oleh pelancong dari Sarawak, Tracey Edwina Hughes yang terpesona dengan keindahan hutan buatan yang dilengkapi ‘The Rain Vortex’ air terjun tertutup tertinggi di dunia serta digelar sebagai jantung ‘Jewel Changi Airport’.
“Ini adalah kunjungan kali kedua saya ke Singapura namun hari ini merupakan kali pertama saya mengunjungi Terminal 4 Changi,” katanya.
Mengakui juga kemudahan serta pengoperasian lapangan terbang itu cemerlang, anak jati Kuching ini berharap konsep ‘layan diri’ wajar diwujudkan di lapangan terbang di Sarawak juga.
“Lapangan terbang di Sarawak kita cantik juga terapi sekiranya berjaya dinaik taraf untuk setanding dengan Terminal 4 Changi bagi saya ia sangat membanggakan kita,” ujarnya.
Pada masa sama kata Tracey, terminal yang dilengkapi dengan pusat beli-belah itu juga merupakan ‘syurga dunia’ buat mereka yang gemar akan aktiviti berkenaan.
Terdahulu, penyambungan semula operasi Terminal 4 Lapangan Terbang Changi secara rasmi adalah pada 15 September 2022 lalu setelah ditutup selama 2 tahun akibat pandemik. – TVS