KUCHING, 17 Dis: Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) beriltizam menjadi sebuah persatuan yang giat menyumbang kepada pembinaan negara bangsa melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti mereka.
Presiden SDGA, Gary Ningkan berkata, antara tumpuan utama persatuan itu adalah untuk mempromosikan kepentingan pendidikan melalui program berbentuk ceramah pendidikan khususnya kepada pelajar di luar bandar Sarawak.
“Ceramah ini biasanya mengenai persediaan menghadapi peperiksaan awam dan laluan mereka selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Ceramah pendidikan ini terus diadakan sehingga hari ini dan pasukan kami dalam tempoh tiga tahun yang lalu akhirnya berjaya menganjurkannya di Song, Belaga, Pakan, Sebauh, Saratok, Serian serta kawasan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Gala Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) ke-21 di hotel Pullman malam tadi.
Katanya, SDGA juga melihat betapa pentingnya untuk seseorang menyesuaikan diri dengan perkembangan dan keperluan baharu Sarawak dan dunia pada hari ini.
“Dengan cita-cita Sarawak untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030, SDGA memberi kepercayaan kepada ahli mudanya untuk memimpin persatuan.
“Persatuan ini juga perlu melihat melangkaui pendidikan dan memberi tumpuan kepada masa depan pekerjaan dalam ekonomi digital,” ujarnya.
Majlis itu diadakan bagi meraikan sumbangan persatuan itu yang telah menjadi platform ahli-ahlinya dapat berhubung antara satu sama lain, dengan pelbagai badan kementerian, agensi-agensi kerajaan, pemain industri dan pelbagai komuniti.– TVS