LANGKAWI, 17 Dis: Kerajaan Sarawak menyasarkan akan memperoleh hasil pendapatan sehingga RM15 bilion setahun menjelang 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu boleh dicapai setelah kerajaan meningkatkan pendapatan dan tidak berbelanja secara boros serta membuat simpanan.
“Kita perlu mencari hasil lebih kepada Sarawak. Saya rasa, menjelang 2025 kita akan mencapai hasil sekurang-kurangnya RM15 bilion.
“Sebelum ini kita sudah dapat sebelas (RM11 bilion) apabila eksport Metanol kita dah keluar (eksport), hidrogen (juga sudah) dah keluar iaitu semuanya merupakan eksport komoditi bercukai,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program High Performance Team (HPA) di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak juga perlu fokus terhadap bidang teknologi yang sering berubah-ubah dalam memastikan ia seiring dengan perkembangan ekonomi negeri.
“Sebab itu saya tekankan kepada ekonomi digital dan keduanya ekonomi baharu berteraskan kepada cara digital.
“Ketiganya sudah tentu ekonomi baharu berteraskan (menangani) masalah yang dihadapi dunia,” katanya.
Terdahulu, program empat hari tersebut bermula 14 Disember lalu itu berjaya menghimpunkan lebih 200 pegawai tinggi perkhidmatan awam Sarawak di sini, Langkawi.