LIMBANG, 17 Dis: Memorandum Persefahaman (MoU) antara lima gabungan parti politik di bawah kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hala tuju jelas dalam memastikan kerajaan yang stabil dan mengukuhkan ekonomi negara, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut beliau perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan merupakan satu perjanjian bersama dalam kalangan parti-parti yang bergabung untuk menubuhkan kerajaan perpaduan Malaysia.
Sementara bagi pihak kerajaan Sarawak, Awang Tengah optimis akan perjanjian kerjasama ini akan memberi keutamaan terhadap usaha untuk mewujudkan kestabilan politk serta keutuhan kerajaan dengan menumpukan usaha untuk meningkatkan ekonomi negara di samping menjaga kebajikan masyarakat.
“Hasrat ini bertujuan untuk memastikan pembangunan yang dirancang akan dapat dilaksanakan secara seimbang,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian ketika ditemui TVS selepas Majlis Pra Krismas Daerah Limbang 2022 Di Dewan Gereja St. Edmund’s, Limbang, hari ini.
Turut sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Dua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu menjelaskan lagi hala tuju jelas ini diharap dapat dilaksanakan secara seimbang khususnya usaha untuk mengangkat kepentingan Sarawak.
“Kita di negeri Sarawak akan mengusulkan mengenai apa-apa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 serta Perjanjian Antara Kerajaan (GC) akan selaras dengan perlembagaan negeri ini sendiri dan akan dapat dilaksana,” tegasnya.
Seterusnya Awang Tengah juga berharap kestabilan negara akan menjadi jaminan bahawa tidak ada rakyat yang akan tercicir daripada program-program pembangunan yang berteraskan kepada keterangkuman.
“Kita mahu negara kita ini akan dapat segera stabil serta ekonomi akan dapat ditingkatkan agar rakyat akan dapat hidup dalam keadaan aman dan menghormati perlembagaan berdasarkan kepada prinsip Rukun Negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan pemimpin empat gabungan lain menyaksikan acara menandatangani perjanjian persefahaman pada Jumaat sebagai sebulat suara membentuk kerajaan perpaduan.
Selain Anwar yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal hadir pada majlis yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri Di Putrajaya pada Jumaat.
Perjanjian persefahaman kerjasama ditandatangani oleh Setiausaha Agung gabungan parti politik masing-masing iaitu Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Zambry Ab Kadir (BN); Alexander Nanta Linggi (GPS); Marsidi Manjun (GRS) dann Loretto S Padua Jr (WARISAN).- TVS