Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Gohtong Jaya, di Batang kali. Foto: Bomba Selangor

Penguatkuasaan, pemantauan lebih agresif, elak insiden tanah runtuh berulang

ByMuqri Aziz

KUCHING, 17 Dis: Langkah agresif dalam penguatkuasaan dan pemantauan perlu diambil bagi mengelak insiden tanah runtuh berulang lagi.

Aktivis Alam Sekitar dan Naib Presiden EcoKnights Amlir Ayat berkata, ia sangat penting kerana insiden seperti tanah runtuh, kepala air dan banjir boleh berlaku sekelip mata tanpa pengetahuan mana-mana pihak.

“Kita harus melihat kepada aspek-aspek penguatkuasaan dan pemantauan kerana ini sangat penting sebab kadang-kadang perkara ini boleh berlaku tanpa pengetahuan kita. Jadi pemantauan dan juga penguatkuasaan ini harus dijalankan dengan lebih aktif dan lebih agresif.

“Ini sangat penting kerana kita tidak tahu apa yang berlaku selepas ini di mana jika kita melihat tidak terdapat tanda-tanda besar akan berlakunya bencana tanah runtuh di kawasan tersebut tetapi ia tetap berlaku,” katanya ketika dihubungi TVS semalam.

Beliau juga berpendapat bahawa situasi ini berlaku kerana terdapat masalah kajian atau penyelidikan yang dilakukan di kawasan tersebut dan berkemungkinan besar terdapat parameter atau kriteria yang terlepas pandang sehinggakan berlakunya bencana itu dan wajar diperhatikan pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, Amlir turut berkongsi terdapat juga beberapa kawasan terutamanya kawasan pelancongan dan kawasan cerun tinggi perlu diberi perhatian penuh oleh pihak berkuasa.

“Berdasarkan pemerhatian saya dibeberapa buah negeri di beberapa kawasan, saya lihat mungkin mempunyai risiko yang tinggi untuk menghadapi masalah ini bukan setakat masalah tanah runtuh tetapi juga masalah kepala air ataupun masalah banjir terutamanya di Selangor.

“Selain Cameron Highlands serta negeri Kedah, kawasan Janda Baik perlu juga diberi perhatian penuh kerana kawasan itu terletak di kawasan pelancongan yang berhampiran dengan kawasan tanah tinggi atau kawasan-kawasan yang berisiko tinggi,” ujarnya.

Katanya lagi, kawasan perumahan atau penempatan manusia seperti kondominium perlu diberi perhatian kerana pernah berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan-kawasan perumahan yang bukan sahaja di kawasan pelancongan sahaja. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan