KUCHING, 17 Dis: Hanya diberi makan roti dan telur setiap hari selama tiga bulan, detik sukar itu terpaksa dilalui tujuh rakyat Sarawak yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Berkongsi pengalaman, menurut salah seorang mangsa, Syed Azwan Wan Abdul Karim,20, dirinya dan enam lagi rakan mendapat tawaran pekerjaan di negara asing itu menerusi kiriman daripada aplikasi Telegram.
Termakan dengan tawaran gaji lumayan kata Syed Azwan iaitu sehingga USD1,000 atau bersamaan dengan RM4,400 membuatkan masing-masing mereka mahu bekerja di sana walaupun tidak diberitahu sektor pekerjaan yang akan disertai.
“Ia (tawaran kerja) dari kumpulan yang ada di Telegram. Menurut tawaran terbabit gaji kita ditambah lagi dengan komisen jika ada membuat jualan,” katanya jenis pekerjaan hanya akan didedahkan selepas mereka tiba di sana.
Syed Azman berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof di Hotel Waterfront di sini, hari ini.
Menyedari menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di negara terbabit, Syed Azman memberitahu dirinya dan rakan-rakan turut diugut untuk membayar sebanyak RM50,000 kepada sindiket tersebut sekiranya ingin kembali ke tanah air.
Selain sering dimarahi jika tidak mencapai sasaran jualan, mangsa-mangsa berkenaan hanya diberikan tempoh masa lima minit sahaja untuk menghubungi keluarga di sini sambil sesi percakapan mereka dipantau oleh anggota sindiket terbabit.
Enggan berdiam diri katanya membuatkan mereka nekad melarikan diri dan nasib menyebelahi sekumpulan anak Sarawak berkenaan ketika itu ditemui pihak polis yang kemudiannya membantu mereka menghubungi Konsul Jeneral Malaysia ke Dubai dan Kedutaan Malaysia di UAE.
“Sekitar jam 2 pagi kami melarikan diri dengan membuka pagar tempat kami tinggal yang tidak berkunci kerana ia hanya ditutup dengan suis,
“Rancangan awal kami adalah untuk lari dan pergi ke Kedutaan Malaysia namun ketika misi melarikan diri itu kami terserempak dengan polis dan kami terus di bawa ke balai untuk diambil keterangan dan sejurus itu kami di jemput oleh pihak kedutaan,” jelasnya.
Sejak dijemput, kesemua mereka menetap selama dua minggu di Kedutaan Malaysia di Dubai sebelum dibawa pulang ke Sarawak dengan bantuan Sarawak Volunteer dan Wisma Putra.-TVS