KUALA LUMPUR, 16 Dis: Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Okt 2022 merosot kepada RM5.80 juta atau 97.1 peratus berbanding RM105.92 juta yang diraih pada suku sama tahun lepas.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis berkata, ia mencatatkan perolehan sebanyak RM926.18 juta iaitu susut 9.4 peratus daripada RM1.02 bilion sebelum ini.
Perolehan lebih rendah itu terutamanya berikutan perolehan langganan dan jualan barangan yang merosot, diimbangi oleh kenaikan dalam perolehan pengiklanan, katanya.
Menurut kumpulan, penurunan untung bersih itu disebabkan kos pembiayaan bersih lebih tinggi dengan sebahagian besarnya berikutan kesan tukaran mata wang asing belum terealisasi daripada liabiliti pajakan kewangan tanpa lindung nilai serta kemerosotan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), diimbangi oleh perbelanjaan cukai rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan dalam kenyataan berkata, pada masa depan, syarikat itu akan terus melabur dalam pelan transformasi jangka panjang dan pertumbuhan mampan dengan memfokuskan kepada kandungan, jalur lebar, penstriman, pengalaman penonton, data, pengiklanan bersasar dan teknologi untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
“Seiring dengan paparan pengguna dan pengalaman yang dipertingkatkan, kami komited memastikan tontonan yang selamat kepada kanak-kanak serta meningkatkan jumlah aplikasi penstriman untuk diintegrasikan ke Ultra Box serta meliputi Pek Astro TV untuk pengalaman tontonan terbaik pada skrin besar,” katanya.
Tan berkata kumpulan itu dijangka terus mengagregat aplikasi terbaik dan menambah aplikasi gaya hidup yang relevan untuk kegunaan rakyat Malaysia dalam masa terdekat.
“Pengiklanan bersasar kini mendapat perhatian di pasaran dan ditambah baik dengan ukuran penonton yang disatukan pada linear, on-demand dan perkhidmatan over-the-top.
“Kami menjangkakan penggunaan pengiklanan bersasar akan berkembang dari semasa ke semasa dan berterusan pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, lembaga pengarah mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 0.75 sen sesaham yang akan dibayar pada 13 Jan 2023. – TVS