Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendengar taklimat ketika tiba lokasi kejadian tanah runtuh di Batang Kali, hari ini. Foto: Bernama

Tanah runtuh: Angka korban meningkat 21 orang – Ahmad Zahid

ByBernama

BATANG KALI, 16 Dis: Seramai 21 mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan di sini disahkan meninggal dunia setakat jam 7.10 malam ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata 12 lagi mangsa masih belum ditemukan dan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan sehingga kini oleh agensi penyelamat.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM)dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta semua agensi penguat kuasa telah dimobilisasi sepenuhnya bagi usaha mencari dan menyelamat.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat akan terus memantau bersama ketua agensi di tempat ini dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan pihak media dan khalayak ramai mengenai perkembangan kejadian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan mendengar taklimat berhubung insiden berkenaan yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut dapatan awal daripada siasatan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Mineral dan Galian (JMG), Ahmad Zahid berkata beliau dimaklumkan terdapat dua aliran air bawah tanah di lokasi runtuhan.

“Kita berdoa mudah-mudahan ada yang selamat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan bantuan kerajaan kepada semua waris mangsa kejadian itu.

Insiden sekitar jam 2.42 pagi hari ini di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter.

Operasi SAR giat dilakukan sejak awal pagi tadi melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan