KOTA SAMARAHAN, 16 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan projek Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS), Fasa 1 yang merupakan titik permulaan dalam usaha mentransformasikan sistem pengangkutan awam di Sarawak.
Menurutnya, KUTS merupakan pendekatan kerajaan Sarawak dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang canggih, efisien dan mesra pengguna.
Projek itu membabitkan pembinaan laluan Transit Aliran Autonomi (ART) yang menghubungkan Kota Samarahan dan Kuching sepanjang 69.9 kilometer.
Menurutnya, kemudahan itu dijangka akan mula beroperasi pada penghujung 2025. Ia bakal memberi manfaat kepada masyarakat di Kota Samarahan untuk pergi ke Kuching dan sebaliknya.
Tujuan membangunkan fasa pertama membabitkan Kota Samarahan dan Kuching adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Kita juga tahu Kota Samarahan merupakan pusat untuk institusi pengajian tinggi (IPT) dan juga institusi kesihatan seperti Pusat Jantung Sarawak dan beberapa lagi yang bakal dibangunkan kelak.
“Saya berharap pelajar dan pekerja akan dapat memanfaatkan ART ini demi kesejahteraan hidup mereka dan juga kelestariaan alam sekitar kerana mod pengangkutan ini akan menggunakan tenaga bersih daripada sumber hidrogen,” katanya pada Majlis Pelancaran Pembinaan KUTS Fasa 1 di tapak pembinaan seluas 80 ekar yang terletak berdekatan Bulatan G7 Kuching-Samarahan-Asajaya Expressway di sini.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain.
Fasa 1 projek tersebut melibatkan pembinaan tiga laluan iaitu Blue Line, Red Line dan Green Line.
Blue Line merangkumi jarak 27.6 kilometer (km) dari Rembus (Kota Samarahan) ke bangunan Hikmah Exchange, manakala Red Line (12.3km) melibatkan perjalanan dari Kuching Sentral sehingga ke Pending; dan Green Line (30km) akan meliputi kawasan Pending sehingga Damai Sentral.
Anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Sarawak Metro telah diamanahkan oleh kerajaan Sarawak untuk melaksanakan projek KUTS.
“Bila kita ada mod pengangkutan yang moden seperti ini, kita akan membuka peluang pekerjaan yang bertaraf tinggi kepada rakyat kita.
“Bukan sahaja rakyat kita akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini, malah pelancong juga boleh menggunakannya untuk pergi ke destinasi pelancongan dengan selamat,” katanya.
Projek KUTS dibangunkan dengan anggaran kos RM6 bilion yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Malah, sistem pengangkutan teknologi tinggi tersebut akan menggunakan tenaga hidrogen yang dihasilkan oleh Sarawak. – TVS