SINGAPURA, 16 Dis: AirAsia memulakan penerbangan Singapura-Sibu dengan menerbangkan seramai 180 penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, hari ini.
Pelepasan pertama pada jam 4.20 petang tadi berlangsung di pintu pelepasan 10 di lapangan terbang berkenaan menyaksikan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Singapura, Logan Velaitham bagi menyerahkan cenderahati kepada isi kapal.
Menurut Logan, kapasiti penumpang yang penuh bagi penerbangan pertama ini membuktikan inisiatif pihaknya disambut baik oleh pelanggan dari Sarawak.
“Tempahan tiket untuk penerbangan selepas ini (Singapura-Sibu) juga sangat memberangsangkan,” katanya.
Logan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pintu pelepasan 10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi pihaknya mendapat tempahan berganda bagi destinasi Singapura ke Sibu serta sebaliknya susulan sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba pada Januari hadapan.
Pada masa sama, Logan memberitahu pihak syarikat penerbangan tambang rendah itu juga telahpun mengadakan perbincangan bersama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) sebelum ini.
“Kita mahu melihat bagaimana potensi untuk mengekalkan kemampanan kerjasama kedua belah pihak (Singapura dan Sarawak),” ujarnya.
Menjelas lanjut penerbangan terus dari Republik berkenaan ke Sibu turut disertakan dengan inisiatif sektor pendidikan pelancongan (edutourism) melalui laluan antarabangsa berkenaan.
“Seperti perancangan yang dibuat bagi penerbangan Singapura-Kuching,” jelasnya strategi serupa akan dilaksanakan di Sibu.
Sebagai rekod, Sibu menjadi bandar ketiga bagi destinasi penerbangan terus dari Singapura selepas Kuching dan Miri.
Penerbangan Singapura-Sibu akan menyaksikan frekuensi sebanyak empat kali seminggu mulai hari ini, 16 Disember. -TVS