KUCHING, 15 Dis: Buda Anchah, Dr Malvern Abdullah dan Philomena Dexclyn mengharumkan nama Sarawak di pentas bina badan antarabangsa menerusi Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia Ke-13 di Phuket, Thailand, baru-baru ini.
Buda meraih pingat emas untuk kategori master terbuka manakala untuk kategori berpasangan campuran mengutip pingat gangsa.
Malvern pula menang pingat emas untuk kategori men athletic physique manakala Philomena menduduki tempat keempat untuk kategori berpasangan campuran.
Ketibaan mereka disambut oleh para penyokong selepas menyertai kejohanan pada 6 hingga 12 Disember.
Kemenangan itu sekali gus mencetus semangat untuk terus melakar kecemerlangan pada Sukan Sea 2023 yang bakal berlangsung di Cambodia.
Buda berkata beliau terharu kerana sambutan yang meriah menanti kepulangan mereka pada petang Rabu.
“Saya berasa bangga dan terharu dengan sambutan kepulangan kami. Kita berasa sangat bangga kerana atlet Sarawak tidak pernah menghampakan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.
Sementara itu, bagi Malvern berasa bangga atas kejayaan yang diperoleh mereka dalam kejohanan tersebut dan akan berusaha membawa pulang lebih banyak pingat pada masa hadapan.
“Setakat ini, prestasi kita boleh dikatakan tidak menghampakan dan konsisten sejak beberapa tahun ini,” katanya.
Philomena pula menzahirkan ucapan terima kasih atas segala sokongan yang diberikan kepada dirinya dan berjanji akan berlatih dengan bersungguh-sungguh.
“Walaupun saya masih baru dalam kumpulan ini tetapi saya tidak akan menghampakan dengan membawa pulang kejayaan dan saya akan membuat yang terbaik.
“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh dengan dorongan daripada dua senior saya di sini,” katanya. – TVS