Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Tuntutan MA63 sedang melalui beberapa rundingan – Sharifah Hasidah

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 15 Dis: Beberapa perkara dan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) yang tertunggak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Sharifah Hasidah meyakinkan setiap perkara yang termaktub dalam MA63 akan ditunaikan secara berperingkat sebagai usaha membawa pembangunan dan kemajuan kepada Sarawak.

“Terdapat banyak rundingan yang memakan masa dalam menyelesaikan isu tertunggak MA63 namun tidak memerlukan pindaan Perlembagaan,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) 2022 di sini, hari ini.

Beliau menambah Sarawak sedang meneruskan rundingan melalui jawatankuasa perundingan bersama di bawah Jawatankuasa Khas MA63 berhubung pemberian geran khas dan wakil negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di bawah Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini antara perkara-perkara yang telah dipersetujui secara prinsip,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai tuntutan terhadap perkara 35 peratus kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak beliau mengakui perkara ini sedang diteliti serta mengambil sedikit masa untuk diselesaikan berhubung perkara berkenaan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau berharap tuntutan di bawah MA63 dapat diselesaikan segera.

Ketika ditanya mengenai kunjungan rombongan pasukan undang-undang negeri ke London sebelum ini, Sharifah Hasidah mendedahkan misi Sarawak bertujuan untuk mencari fakta mengenai MA63.

Menurutnya, hasil kunjungan itu pasukan itu telah berjaya mengesahkan fakta melalui beberapa dokumen dalam arkib di sana.

“Terdapat dokumen seperti minit mesyuarat dan apa yang dibincangkan oleh pemimpin terdahulu kita sebelum pembentukan Malaysia. Kami dapat menemui persetujuan bersama dan hak Sarawak yang berkaitan dengan MA63,” tegasnya.

Sharifah Hasidah juga mendedahkan beliau telah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai perkara berkaitan perjanjian berkenaan.

“Beliau (Fadillah) akan mewakili Sarawak di peringkat Persekutuan. Jadi kami akan berkomunikasi secara rapat dan membincangkan isu itu,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan