TAWAU, 15 Dis: Seramai 92 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal menggunakan jalan laut di Pelabuhan Tawau di sini pagi tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran kesemua PATI berkenaan dilaksanakan menerusi Program Pemindahan Tahanan Pati Siri 21.
“Pecahan PATI terlibat yang sebelum itu ditahan di Depot Imigresen Tawau terdiri daripada seorang kanak-kanak berusia 23 bulan serta 71 orang lelaki, 20 orang wanita berumur sehingga 57 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, PATI yang ditahan di depot tahanan Imigresen seluruh Sabah adalah mereka yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sharifah berkata, hukuman yang dikenakan ke atas semua mereka ini berdasarkan peruntukan mengikut Akta Imigresen dan perundangan negara termasuk tindakan terakhir iaitu pemindahan keluar dari negara.
“Justeru, semua warga asing diingatkan supaya memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan sebelum masuk ke negara ini,” ujarnya. – TVS