KOTA SAMARAHAN, 14 Dis: Bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), sebanyak 57 pokok spesis White Bucida ditanam di sekitar Dataran Canselori.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata aktiviti penanaman pokok itu bertepatan dengan inisiatif universiti itu untuk menjayakan usaha mengurangkan pelepasan karbon setempat.
Menurutnya, sehingga kini UNIMAS telah menanam sebanyak 20,000 pokok yang bersamaan dengan pengurangan 50,000 tan karbon.
“Sesuai juga dengan usaha kita ditempat lain untuk menanam pokok iaitu dalam masa sama menjayakan pengurangan karbon sebagai sasaran kampus tanpa pelepas karbon,” katanya pada Majlis Penanaman pokok Bucida di Dataran Canselori, di sini.
Jelasnya pokok Bucinda yang ditanam itu akan menjadi salah satu mercu tanda di universiti tersebut.
Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar aktiviti penanaman pokok Bucinda sebagai salah satu aktiviti wajib bagi acara rasmi universiti tersebut.
“Ini agar yang menanam itu akan kembali melihat hasil tanaman mereka di masa hadapan apabila mereka menjejakkan kaki semula ke UNIMAS,” katanya. -TVS