KOTA SAMARAHAN, 14 Dis: Lebih 50,000 graduan dihasilkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam pelbagai bidang sepanjang 30 tahun penubuhannya di Sarawak.
Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, sepanjang tempoh tersebut, UNIMAS juga turut menempa nama bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di peringkat antarabangsa.
“Kita juga telah menjalinkan kerjasama di semua benua di dunia dalam beberapa disiplin khususnya dalam bidang biodiversiti, bidang tenaga diperbaharui, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) , penglibatan Sosial dan Sains Sosial.
“Kita telah membina kekuatan dan membina jalinan dan kejayaan dalam bidang berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang tahun ke-30 UNIMAS.
Beliau berkata, UNIMAS akan terus memperkasa serta memperkuatkan sumbangannya sama ada di peringkat kebangsaan serta global.
Ia menerusi pencapaian serta jalinan kerjasama dalam bidang termasuk penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dengan rakan industri serta rangkaian kerjasama di luar negara.
Usaha itu katanya, selari dengan harapan mahu menjadikan UNIMAS sebagai sebuah jenama global. -TVS