KUALA LUMPUR, 14 Dis: Nilai ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini, walaupun pasaran masih tidak tahu apa yang boleh diharapkan daripada keputusan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang akan datang, kata seorang peniaga.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.4050/4130 berbanding dolar AS daripada 4.4260/4320 pada penutup semalam.
Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata penurunan dalam kadar inflasi AS baru-baru ini memberikan isyarat yang jelas kepada pelabur bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin tidak perlu bertindak secara agresif sepanjang tahun depan dan mengguna pakai nada yang lebih memihak kepada pertumbuhan ekonomi sepanjang 2023.
Data inflasi AS mencatatkan angka yang lebih rendah daripada jangkaan (7.1 peratus berbanding unjuran 7.3 peratus).
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.4419/4518 daripada 5.4307/4381 pada penutup Selasa dan lemah berbanding euro menjadi 4.6843/6928 daripada 4.6646/6709 semalam.
Ringgit turut menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2702/2767 daripada 3.2640/2689 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2550/2614 daripada 3.2142/2188 pada penutupan Selasa. -TVS