QATAR, 14 Dis: Dua jaringan daripada Julian Alvarez dan sepakan penalti Lionel Messi memberikan kemenangan kepada Argentina 3-0 ke atas Naib Juara 2018 Croatia di pentas separuh akhir Piala Dunia pada Selasa.
Kemenangan Argentina di pentas Piala Dunia memberi sinar buat mereka untuk menamatkan badi tanpa Piala Dunia sejak 1986.
Messi memulakan langkah kanannya dengan menjaringkan gol tunggalnya menerusi sepakan penalti pada minit ke-34 selepas penjaga gol Croatia menjatuhkan Alvarez di kotak penalti.
Argentina melebarkan jurang mereka dengan meledak gol kedua oleh Alvarez pada lima minit selepas Messi membuat sepakan penalti.
Croatia yang mula gelisah dan cuba untuk bangkit daripada ketinggalan akhirnya berputih mata selepas Alvarez meledak gol ketiga buat Argentina dengan bantuan Messi pada minit ke-69 dan seterusnya mematikan peluang Croatia untuk melangkah ke pentas final.
Kali terakhir Argentina berada di pentas final Piala Dunia adalah pada edisi Piala Dunia 2018 namun tewas di tangan Jerman dengan jaringan tunggal Mario Gotze.
Argentina bakal bertemu dengan kumpulan yang memenangi separuh akhir kedua sama ada Perancis atau Maghribi di Stadium Lusail pada 18 Disember ini. – TVS