KUCHING, 14 Dis: Kanak-kanak perlu didedahkan dengan ilmu keselamatan kebakaran atau kebombaan sejak kecil lagi, kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Kataya,ini kerana mereka boleh menerima ilmu tersebut dengan mudah dan seterusnya dapat mewujudkan ‘citizen live saver’ yang sentiasa responsif terhadap aspek keselamatan dengan membudayakan amalan kendiri yang tinggi.
“Saya amat suka dengan Community Learning Centre (CLC) kerana jika kita mengajar mereka sejak kecil lagi, mereka dapat manfaat daripadanya selama bertahun-tahun.
“Pada masa yang sama, mereka senang untuk diajar kerana mudah menerima ilmu yang baharu berbanding dengan orang-orang yang sudah berumur dan mereka yang diasah boleh membantu ibu bapa mereka dan itu saya rasa perkara yang paling mulia,” katanya ketika merasmikan pelancaran Community Learning Centre (CLC) di Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, Dr Sim menegaskan bahawa komuniti setempat perlu memainkan peranan yang penting jika berhadapan dengan situasi kebakaran di kawasan setempat.
“Saya berharap lebih ramai komuniti tampil ke hadapan dan menangani perkara ini seperti membuka pemadam api yang betul dan bukannya menuding jari dengan orang lain,” ujarnya.
Pengarah JPBM Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman @ Hussaini berkata, dengan wujudnya sebuah Pusat Pembelajaran Awam itu berupaya memenuhi keperluan Pengetahuan Keselamatan Setempat.
“Selain itu, ia membantu komuniti khasnya pelajar sekolah mendalami ilmu keselamatan kebombaan, ini adalah selaras dengan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara Tahun 202,” ujarnya.
Pada majlis itu Presiden Yayasan Farley, Eijing Lau menyerahkan sumbangan bernilai RM40,000 kepada Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang (JPBM) bagi membangunkan CLC. – TVS