SIMUNJAN, 14 Dis: Aktiviti khatan beramai-ramai sinonim diadakan pada hujung tahun seiring dengan tibanya musim cuti persekolahan.
Meraikan anak-anak di Simunjan, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menepung tawar para peserta di sini.
Terdahulu kemuncak menyaksikan seramai 56 kanak-kanak termasuk 10 kanak-kanak bukan Islam diarak dengan pukulan hadrah mengelilingi kampung sebelum acara sembur air bomba.
Bercakap mengenai program berkenaan, Rodiyah menganggap aktiviti berkhatan beramai-ramai merupakan acara untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat serta memenuhi tuntutan agama Islam.
Pada masa yang sama, katanya program tersebut juga bertujuan untuk membantu meringankan beban ibu bapa dan penjaga untuk melaksanakan tuntutan agama serta meraikan anak-anak mereka tanpa perlu menanggung kos yang tinggi.
“Program ini perlu sentiasa diteruskan kerana merupakan platform terbaik untuk mengekalkan budaya lama di samping merapatkan lagi hubungan penduduk setempat,” katanya.
Rodiyah berkata demikian pada Program Khatan Beramai-Ramai anjuran Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kelka di Dewan Kampung Kelka di sini, pada Isnin.
Tambahnya lagi, program berkenaan mencerminkan keharmonian serta semangat toleransi antara masyarakat berbilang bangsa dan agama di negeri ini khasnya kawasan Simunjan.
“Di sebalik budaya berkhatan ini, terdapat pelbagai hikmah dan kebaikan yang tersirat, antaranya adalah dari segi aspek kesihatan dan kebersihan dalam kehidupan harian seperti yang diutamakan dalam agama,” ujarnya.
Justeru, Rodiyah berharap program tradisi meraikan kanak-kanak secara beramai-ramai itu tetap diteruskan oleh masyarakat setempat bagi mengelakkannya daripada hilang ditelan arus kemodenan.