JAKARTA, 14 Dis: Agrobank dinobat sebagai penerima “Best Islamic Retail Development Finance Institution in the World 2022 Award” di Islamic Retail Banking Awards (IRBA) ke-8 yang berlangsung di sini.
Dihadiri lebih 50 pemain industri perkhidmatan kewangan runcit Islam terbaik dari seluruh dunia, anugerah berprestij ini memberi pengiktirafan kepada individu dan institusi yang telah menunjukkan komitmen besar dan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan, pertumbuhan perbankan peruncitan Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ini membuktikan kemuncak perjalanan transformasi Agrobank sebagai sebuah institusi perbankan Islam penuh sejak tahun 2015, dan tentunya akan mendorong untuk terus memenuhi permintaan dan keperluan pasaran yang semakin meningkat.
“Sebagai sebuah institusi perbankan Islam Malaysia, kami berbesar hati untuk menerima pengiktirafan antarabangsa yang berprestij ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kejayaan itu juga merupakan testimoni akan keupayaan dalam menyediakan produk-produk serta perkhidmatan perbankan Islam yang terbaik.
Setakat ini, Agrobank berfokus bagi produk-produk peruncitan berasaskan syariah, termasuk bagi segmen perusahaan kecil dan sederhana, dan pembiayaan mikro.
Agrobank sendiri akan terus berupaya untuk menjadi sebuah bank Islam yang disegani yang menyokong visi Malaysia dalam menjadi hab ekonomi Islam global. – TVS