PUTRAJAYA, 13 Dis: Usaha penyelesaian jangka panjang dalam menangani masalah banjir perlu dimulakan segera termasuk penyediaan tebatan banjir secara holistik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Penyelesaian jangka panjang perlu dibuat segera supaya biar selebat manapun hujan, banjir dapat diuruskan dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di sini, hari ini.
Beliau berkata, biarpun kerajaan dimaklumkan ia akan membabitkan kos yang tersangat besar termasuk projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion yang sudah dilaksanakan pentadbiran terdahulu namun apabila siap kelak, ia bakal membabitkan pengurusan banjir sepanjang tempoh sehingga tahun 2100.
“Bagi kawasan yang muka buminya di bawah aras laut, ia hendaklah juga diselesaikan dengan cara jangka panjang kerana masalah banjir termenung ini berlaku di banyak tempat di negara kita.
“Kami telah meminta supaya koordinasi dilakukan dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar penyelesaian kepada pemasalahan ini dapat dilakukan dengan segera kerana ia melibatkan berlaku permasalahan pertumbuhan ekonomi dan masalah pencarian kehidupan oleh masyarakat yang terlibat di kawasan banjir termenung berkenaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan melibatkan sukarelawan untuk bersama-sama menangani dan membantu pengurusan banjir.
“Kami buat pertama kali menjadikan badan sukarela atau sukarelawan untuk bersama-sama dengan jawatankuasa (bencana pusat) dan kita mahu di peringkat nasional, negeri, daerah dan pusat pemindahan sementara dapat diterlibatkan bukan saja mengurangkan beban tugas tapi melihat keberkesanan kepada menyelesaikan masalah-masalah banjir terutama kepada mangsa,” katanya. – TVS