TASEK GELUGOR, 13 Dis: Seorang gadis yang bakal bernikah bulan hadapan melecur hampir pada seluruh tubuh selepas terlibat dalam kejadian letupan gas memasak di rumahnya di Taman Sena Permai di sini, pagi tadi.
Baca artikel berkaitan di sini:
Adik mangsa, Muhammad Azib Mohamad, 25, berkata, kakaknya Siti Hajar Hanis, 26, mengalami lecuran kira-kira 70 peratus selepas berlaku satu letupan kuat dari bahagian dapur kira-kira jam 7.30 pagi.
Ujar Muhammad Azib, dia dan isterinya bergegas turun selepas terjaga daripada tidur kerana terdengar bunyi dentuman, selain dihempap siling dan atap genting yang runtuh.
“Semasa cuba mengeluarkan diri, saya dengar jeritan isteri di tingkat bawah memaklumkan kakak sedang terbakar.
“Semasa turun, saya dapati isteri sedang bantu kakak menanggalkan pakaiannya yang disambar api pada seluruh tubuh,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Muhammad Azib, kejadian berlaku ketika kakaknya mahu melakukan rutin menyediakan sarapan di dapur.
“Pagi tadi kakak hendak menggoreng ikan sebelum memulakan tugasnya kerana dia bekerja dari rumah dengan sebuah syarikat telco.
“Tidak sangka kejadian ini menimpa kakak yang akan melangsungkan perkahwinan pada Januari depan,” katanya yang mengalami luka akibat terkena serpihan runtuhan.
Katanya, sejurus kejadian, kakaknya masih sedar dan segera dihantar ke hospital Kepala Batas di sini oleh jirannya, namun keadaannya stabil.
Dalam kejadian berkenaan, rumah teres dua tingkat tersebut mengalami kerosakan teruk pada seluruh bahagian akibat impak letupan dipercayai akibat kebocoran Gas Petroleum Cecair (LPG).
Sebuah kereta dan motosikal yang berada di hadapan rumah mangsa turut mengalami kerosakan. – TVS