KUCHING, 13 Dis: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) akan terus menyokong pembangunan bakat terutamanya dalam bidang seni bagi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Menurut Setiausaha Tetap MTCP Datu Hii Chang Kee, program kesenian seperti Bintang Kecil akan mampu membentuk generasi pelapis dalam bidang seni suara di Sarawak yang berketrampilan, kreatif dan berkepribadian tinggi.
“Kita amat menghargai usaha para media untuk bersama-sama Kerajaan Sarawak dengan pihak RTM khususnya dalam mempromosikan Bintang Kecil 2022 sebagai acara yang signifikan dalam mengetengahkan bakat kanak-kanak khususnya dalam bidang seni suara,” katanya ketika mengadakan sidang media Bintang Kecil 2022 di sini, hari ini.
Beliau menambah, kepelbagaian latar belakang 10 peserta Bintang Kecil 2022 juga memberikan gambaran bahawa bidang seni dapat menjadi elemen penyatuan dan semangat perpaduan.
“Mereka terdiri daripada pelbagai bangsa seperti seorang wakil dari Sarawak yang berbangsa Kenyah, bangsa Dusun dari Sabah, bangsa Cina dari Pulau Pinang, bangsa India dari Negeri Sembilan dan bangsa Melayu dari Perlis, Pahang, Johor, Selangor dan tuan rumah dari Sarawak. Inilah kepelbagaian yang ditonjolkan dalam seni,” ujarnya.
Konsert Separuh Akhir Bintang Kecil 2022 akan berlangsung pada 17 Disember ini di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching.
Seramai enam peserta akan mara ke Pusingan Akhir Bintang Kecil yang akan berlangsung pada 24 Disember ini di Stadium Perpaduan, Kuching.
Johan akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 beserta piala dan sijil, naib johan menerima RM15,000 beserta piala dan sijil manakala tempat ketiga menerima RM10,000 beserta piala dan sijil, penerima saguhati pula akan mendapat RM5,000 beserta piala dan sijil. – TVS