KUCHING, 13 Dis: Pembinaan sistem pengangkutan kereta kabel di kawasan Padawan disifatkan sebagai satu idea yang luar biasa.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Dr Jerip Susil berkata, terdapat cadangan yang disuarakan penduduk di sekitar Padawan untuk mewujudkan sistem perhubungan kereta kabel itu bagi memudahkan aktiviti harian mereka.
“Memang ada cadangan termasuk daripada penduduk Padawan sendiri untuk menghubungkan Borneo Highlands ke perkampungan yang berada di atas Empangan Bengoh.
“Ia kemudiannya dihubungkan ke beberapa perkampungan di atas awan seperti Kampung Sapit, Kampung Kiding dan Kampung Simuti, kemudiannya kereta kabel ini akan kembali ke tempat permulaan iaitu di kawasan rumah panjang Annah Rais,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan Mini Lab N19 Mambong for Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) di Raia Hotel & Convention Centre di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Dato Willie Mongin.
Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong berkata, sistem pengangkutan itu juga dilihat sangat efisien untuk digunakan di kawasan tanah tinggi kerana mampu menghubungkan semua perkampungan.
“Cadangan daripada penduduk setempat itu juga menggambarkan bahawa mereka mahukan sistem pengangkutan yang moden, sesuai dengan kemajuan yang dikecapi masa kini,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan, bagi mengekalkan keindahan alam semula jadi yang terdapat di Empangan Bengoh, kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membina jalan raya di perkampungan berkenaan.
Jelasnya, untuk berkunjung ke kampung-kampung di kawasan itu, terdapat perkhidmatan bot disediakan untuk para pengunjung menikmati pemandangan persekitaran. -TVS