Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang bekas guru tuisyen, Jamaliah Ahmad, 62, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penjualan seorang bayi perempuan pada Disember 2021. Foto: TVS

Bekas guru tuisyen didakwa gubah wang haram hasil jual bayi RM12,000

GEORGE TOWN, 13 Dis: Seorang bekas guru tuisyen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penjualan bayi sebanyak RM12,000 pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazdi Abd. Hamid.

Bekas guru tuisyen, Jamaliah Ahmad, 62. Foto: TVS

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menerima wang tunai berjumlah RM12,000 hasil aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lobi sebuah hotel di Jalan Penang di sini kira-kira jam 7 malam pada 15 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hariss Ong Jeffery Ong, manakala tertuduh diwakili peguam Md. Yusuf Md. Idris.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh juga tidak dibenarkan berjumpa atau mengganggu mana-mana saksi sepanjang kes berlangsung.

Kes akan disebut semula pada 31 Januari depan.

Mengikut fakta kes, seorang wanita didakwa telah menerima seorang bayi perempuan daripada seorang warga Indonesia untuk dijadikan anak angkat oleh suspek pada Disember 2021.

Suspek kemudiannya membuat pengiklanan di laman web Facebook kepada pasangan yang ingin mencari anak angkat.

Suspek kemudiannya dikatakan menjual bayi itu kepada pasangan suami isteri dari Terengganu yang berminat mengambil sebagai anak angkat. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan