MIRI, 11 Dis: Usahawan boleh menukar sesuatu perkara yang diminati oleh mereka kepada sumber ekonomi sekiranya mereka mempunyai ilmu untuk memanfaatkan minat dan kemahiran mereka.
Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Dr Ripin Lamat berkata perkara yang diminati boleh dijadikan sebagai pendorong untuk usahawan mengembangkan perniagaan mereka.
Menurutnya, usahawan seharusnya mempunyai minat yang spesifik apabila melakukan sesuatu perniagaan bagi mencapai sasaran.
“Mereka yang bercita-cita menjadi usahawan juga harus berusaha mencari ilmu lebih secara mengikuti kursus atau juga menceburi bidang-bidang yang mereka minat. Kita mesti mempunyai minat yang spesifik untuk menjadi usahawan iaitu meminati sesuatu perkara khusus,” katanya semasa Majlis Perasmian Bizfrancais@Sarawak 2022 di Miri Marriot Resort & Spa, hari ini.
Tambahnya, usahawan juga boleh memilih bidang perniagaan dari negeri lain untuk dibawa ke negeri sendiri dan sebaliknya ia bersesuaian dengan keadaan setempat seperti francais.
“Selain itu kita usahakan untuk mengembangkan perniagaan kita dalam bentuk francais agar dapat mempercepatkan perniagaan kita dalam bentuk jaringan atau pembukaan cawangan,” katanya lagi.
Terdahulu, program berkenaan mendidik para usahawan mengenai ilmu perniagaan francais secara lebih mendalam dijayakan oleh Perbadanan Nasional (PERNAS) bersama Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Dayak (DPPD) sebagai rakan strategik.
Program Bizfrancais@Sarawak 2022 merupakan platform pertukaran maklumat mengenai perniagaan francais serta skim dan latihan yang ditawarkan.
Pada masa sama, program itu juga merupakan peluang para usahawan menjana pertumbuhan ekonomi sambil mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan di dalam bidang francais di Sarawak. -TVS