SANDAKAN, 11 Dis : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut baik kenyataan Kementerian Pertahanan yang akan meneruskan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkata pasukan itu memerlukan platform dan aset yang bersesuaian supaya dapat seiring dengan angkatan laut negara lain di rantau ini.
Ini kerana katanya, tidak dapat dinafikan keupayaan aset TLDM jauh ketinggalan di belakang walaupun dalam kalangan negara ASEAN.
“Warga TLDM gembira dengan kenyataan dibuat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mana beliau menjamin akan cuba sedaya-upaya untuk meneruskan lagi projek LCS yang kita tahu terbengkalai selama ini.
“Kenyataan itu adalah satu yang memberangsangkan dan menggembirakan hati kami semua warga TLDM,” katanya kepada media selepas Majlis Penutupan Eksesais OSTEX East Siri 3/2022 di Dewan Azim, Kompleks Perumahan TLDM Taman Samudera di Sandakan, hari ini.
Semalam, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PuspaHanas), Putrajaya telah menyatakan projek LCS akan diteruskan kerana ia merupakan aset strategik bagi ATM.
Sementara itu, Sabri berharap perkara positif itu akan turut diperluas kepada dua lagi keperluan utama TLDM iaitu perolehan projek kapal misi pesisir (LMS) dan permohonan meningkatkan bajet pertahanan negara.
Mengenai Eksesais OSTEX East Siri 3/2022, beliau berbangga dengan pencapaian warga TLDM khususnya pasukan Armada Timur kerana berjaya menunjukkan peningkatan dari segi kompetensi.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu mereka berpuas hati dengan pencapaian yang diperolehi sebaliknya perlu berusaha untuk meningkatkan lagi keupayaan tahap profesionalisme masing-masing. – TVS