Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tiga beranak terkorban dalam kemalangan dua kereta di Jalan Kampung Koh-Pantai Remis, Manjung malam tadi. Foto: Bomba.

Tiga beranak terkorban nahas dua kereta

IPOH, 11 Dis: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak terkorban selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta lain di Jalan Kampung Koh-Pantai Remis, Manjung di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, pemandu kereta jenis Proton Saga, Mohamad Adam Che Embi, 33, isterinya, Nur Hamizza Hamdan, 32, dan anak lelaki, Mohamad Aisy Hakim, 2, maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Anak perempuan pasangan itu berusia enam tahun dan anak lelaki berusia empat tahun yang merupakan penumpang belakang dilaporkan mengalami kecederaan ringan pada dada dan dahi.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, kejadian itu membabitkan kereta Proton Saga dari arah Seri Manjung yang bertembung dengan kereta jenis Chevrolet Captiva dari arah bertentangan.

Ujarnya, akibat kejadian itu, Proton Saga telah terhenti di kiri jalan, manakala Chevrolet Captiva terhenti di sebelah kanan.

“Kemudiannya Chevrolet Captiva telah terbakar dari bahagian hadapan disyaki akibat kebocoran petrol dan pemandu perempuan berusia 21 tahun yang patah kaki berjaya diselamatkan.

“Tiga daripada mangsa Proton Saga meninggal dunia di lokasi kejadian. manakala dua penumpang kanak-kanaka cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Yusri, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seri Manjung di sini bagi rawatan lanjut, manakala mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital sama bagi urusan bedah siasat.

“Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd. Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-443 3441 bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga dinasihati agar lebih berhati-hati dan berhemah di jalan raya, lebih-lebih lagi pada musim  cuti persekolahan ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan