KUCHING, 11 Dis: Sunbear Music and Arts Festival 2022 berpontensi menjadi sebuah platform yang memperkenalkan bakat muda baharu dalam industri muzik.
Salah seorang penyanyi jemputan, Jon Kennedy,18, berkata, acara itu mampu memberi pendedahan artis baharu kepada orang ramai.
“Terdapat banyak kumpulan (artis) yang saya kurang kenal dan mereka sangat bagus. Gaya muzik mereka, genre dan segalanya. Jadi saya sangat kagum melihat lebih ramai orang yang lebih bagus dari saya,” kata Jon ketika ditemui oleh pemberita TVS.
Jon yang membuat persembahan di ‘Pink Stage’ pada hari kedua acara itu menambah, hal itu membuatkan dia bersemangat untuk meningkatkan lagi kemahirannya sebagai seorang penggiat industri muzik.
Untuk rekod, acara ini mempunyai dua pentas konsert tumpuan, iaitu ‘Pink Stage’ dan ‘Sunbear Stage’.
Sementara itu, penyanyi jemputan Aerron Teo,19, berkata, acara itu memberikannya pengalaman baharu sebagai seorang penyanyi yang belum lama berjinak dalam bidang berkenaan.
“Ini kali pertama saya membuat persembahan di acara berskala besar seperti ini dan saya tidak menyangka seramai ini yang datang untuk menyaksikan persembahan saya.
“Walaupun gementar sehingga lupa lirik lagu sendiri, segalanya berjalan dengan lancar setelah saya berjaya mengatasi perasaan itu,” jelas Aerron.
Sunbear Music and Arts Festival pada hari kedua turut mendapat sambutan yang meriah daripada orang ramai.
Antara barisan penyanyi yang paling dinantikan pada hari kedua acara tersebut adalah SOG, Ramengvrl, Reality Club, Phum Viphurit dan Fur.
Kumpulan rock dari Amerika Syarikat, The Red Jumpsuits Apparatus turut dijangka untuk memberikan persembahan mereka pada hari kedua, namun atas sebab tertentu kumpulan tersebut tidak dapat hadir. – TVS