NILAI, 11 Dis: Meskipun mengalami kesukaran mempelajari ilmu al-Quran secara normal, ia tidak mematahkan semangat Azizah Saari, 41, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan untuk mendalami dan khatam kitab suci itu.
Berpegang kepada prinsip ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’, Azizah mencari peluang mempelajari bacaan al-Quran secara bahasa isyarat daripada kelas anjuran Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Faqeh) yang diketahuinya menerusi media sosial ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas.
“Saya bermula pada Ramadan 2020, dapat tahu ada program tadarus tanpa suara dan terus sertai, ia pengalaman pertama dalam hidup, sebelum ini saya hanya mengingati huruf sahaja. Semasa sekolah, guru ajar guna suara tapi saya tak dapat ikut, sekarang dah dua kali khatam lepas sertai kelas.
“Jadi bila masuk kelas tu, saya seronok dan suka Quran, peringkat awal saya hanya kenal huruf dan sekarang sudah boleh baca betul. Selama ini saya cari kelas seperti ini tapi tak jumpa, Alhamdulillah, masih belum terlambat untuk belajar,” katanya yang dibantu seorang jurubahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan pemberita selepas Majlis Khatam Quran OKU di sini hari ini.
Azizah yang bekerja sebagai operator kilang di Pulau Pinang memaklumkan beliau mempelajari al-Quran menggunakan kod tangan Quran iaitu hanya perlu mengingatinya melalui huruf sahaja tanpa dibaca melalui tanda baris dengan dibantu tenaga pengajar atau dikenali sebagai ‘dai pekak’ yang berpengalaman.
Menurutnya program anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu memberikan manfaat besar kepada golongan sepertinya untuk terus mendekati al-Quran dengan cara yang betul.
OKU penglihatan dari Kuala Terengganu, Aina Solehah Zainuddin, 8, yang mengenali al-Quran sejak berusia tiga tahun pula gembira apabila berpeluang khatam al-Quran secara beramai-ramai menerusi program berkenaan hari ini.
“Saya gembira mengaji ramai-ramai hari ini, umi (ibu) saya ajar mengaji guna Quran Braille selama ini, senang je baca, saya seronok, lepas solat memang akan baca, hari ini khatam Quran kali pertama,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti USIM Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata inisiatif penganjuran program itu bertujuan membudayakan al-Quran dalam kalangan OKU sekali gus memberi peluang kepada mereka menunjukkan kelebihan yang ada.
Beliau berkata keunikan dan kepelbagaian kaedah membaca Quran itu dilihat dengan OKU penglihatan dibantu oleh Mashaf Quran Braille manakala OKU pendengaran pula membacanya tanpa suara dengan mengisyaratkan huruf-huruf Quran dan isyarat Kod Tangan Quran.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata aplikasi Quran Isyarat yang dibangunkan USIM April lepas mendapat sambutan menggalakkan dengan hampir 2,000 pengguna sudah memuat naik aplikasi tersebut.
Aplikasi Quran Isyarat itu merupakan yang pertama di negara bertujuan memudahkan OKU masalah pendengaran untuk membaca dan mendalami al-Quran sekali gus mempromosi keseimbangan hidup komuniti OKU bertunjangkan Maqasid Syariah dan pendekatan Islami. – TVS