SONG, 11 Dis: Hasrat menyambut Hari Krismas enam sekeluarga punah apabila rumah kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Mukau, Kampung Perpaduan, dekat sini pagi Ahad.
Insiden pada jam 9.30 pagi berlaku ketika kesemua ahli keluarga tidak berada di rumah dan kebakaran itu disedari oleh jiran berhampiran sebelum memaklumkan pihak bomba melalui panggilan MERS 999.
Komander operasi, Pegawai Bomba (PB) Abang Fadzil Abang Marzuki berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 9.39 pagi sebelum enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song serta dibantu oleh empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan, pasukan kami dari BBP Song terus bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai dan mengambil masa tiga minit untuk tiba di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, keadaan api marak dan telah memusnahkan rumah jenis tidak kekal setingkat yang berkeluasan kira 20×30 kaki persegi didapati telah terbakar 100 peratus.
Menurut Abang Fadzil, kesemua ahli keluarga telah keluar ke pekan Song untuk membeli barang keperluan rumah semasa kejadian.
“Anggota kami telah berjaya mengawal api dalam tempoh 49 minit dengan menggunakan dua aliran hos 400 kaki dua nozel dan sumber air dari pili bomba berhampiran,” jelasnya.
Kebakaran tersebut berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.30 pagi.
Pasukan operasi kemudian membuat pemeriksaan semula bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan kebakaran semula.
Abang Fadzil berkata operasi pemadaman ditamatkan pada jam 10.55 pagi dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, pemilik rumah Sintau Lukok, 42, bersama isteri, 39 tahun dan tiga anak mereka berusia 7 hingga 14 tahun serta seorang lagi anak saudara berusia 13 tahun yang tinggal sehelai sepinggang terpaksa menumpang di rumah saudara terdekat mereka untuk sementara waktu. -TVS