KUALA LUMPUR, 11 Dis: Barisan pertahanan pasukan negara belum mencapai prestasi optimum dalam kejayaan Malaysia menumpaskan Kemboja 4-0 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Jumaat lepas.
Pemain pertahanan, Sharul Nazeem Zulpakar yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada pertembungan itu berkata konsistensi ialah kelemahan ketara yang perlu diatasi kubu pertahanan skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan seterusnya.
“Saya merasakan pada separuh masa pertama kami lebih bagus berbanding separuh masa kedua, mungkin disebabkan kepenatan, mungkin (juga) hilang fokus.
Jadi dari situ kami (pemain pertahanan) perlu belajar lagi dan kami perlu berubah pada perlawanan akan datang,” kata tonggak pertahanan Selangor FC itu yang beraksi sepanjang 90 minit pada perlawanan menentang Kemboja, ketika ditemui Bernama, di sini.
Pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu turut berkata jentera bahagian tengah memainkan peranan yang baik Jumaat lepas dengan Stuart Wilkin dan David Rowley yang meraih penampilan pertama bersama pasukan negara, masing-masing memberikan sumbangan diperlukan.
“Stuart dan David bermain agak baik kerana memenangi ‘second ball’, jadi kami di bahagian pertahanan mudah kerja,” katanya yang berhasrat untuk berada dalam senarai akhir 24 pemain ke saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dari 20 Dis sehingga 16 Jan depan.
Pasukan negara bimbingan Kim Pan Gon akan menghadapi satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu ini, sebelum memulakan kempen Piala AFF menentang Myanmar di Yangon, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B pada 21 Dis.
Malaysia dijadual berdepan Laos di Bukit Jalil pada 24 Dis, diikuti Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil (3 Jan) dalam perlawanan terakhir Kumpulan B.
Skuad Harimau Malaya yang merangkul gelaran juara pada 2010 terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas di Singapura selepas muncul naib juara pada edisi 2018. – TVS