KUCHING, 10 Dis: TVS merangkul sembilan anugerah bagi kategori umum Anugerah Penyiaran Televisyen dan Video atas Talian Majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2022 Edisi ke-34 yang diadakan di Hotel Imperial, Miri, malam tadi.
TVS cemerlang dalam kategori Kewartawanan Bisnes dan Ekonomi selepas menyapu bersih hadiah tempat pertama hingga ketiga.
Muhammad Hafeezzur Rahman Muzamir dan Mohamad Fiqri Razak memenangi tempat pertama untuk Siri Pertama Terung Asam Permata Sarawak dan Siri Kedua Terung Asam Dan Manfaatnya, tempat kedua dimenangi Odleen Catherny Morfor dan Tan Tze Yung dengan penyertaan Air Terjun Lusong Laku: Tujuh Jam Yang Berbaloi, Potensi Ekonomi, Pendidikan Di Lusong Laku manakala Awang Azmil Awang Ahmad dan Khairil Zharif memenangi tempat ketiga untuk Ladang Nanas Jenis MD2 Pertama Di Sarawak.
Bagi kategori Kewartawanan Ekonomi Digital tempat pertama juga dimenangi TVS menerusi penyertaan Madeline Dugat untuk Spay Global Ngemudahka Peranak Menua Ulu (2 Siri) dan Spay Global Mutarka Penanggul ATM Di Lubok Antu.
TVS juga memenangi tempat kedua bagi kategori Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti & Pembangunan Luar Bandar yang dimenangi Salasiah Safian menerusi penyertaan Ikan Bilis Lawas ‘Terbang’ Ke KL, Rentas Sempadan Brunei.
Nurul Nur Akmal Mohamad Salleh untuk Jerunei Telian Tinggalan Penuh Bersejarah memenangi tempat kedua bagi kategori Kewartawanan Penyiaran.
Odleen Catherny Morfor dan Tan Tze Yung untuk Penyu Agar Kembali Ke Taman Negara Similajau memenangi tempat pertama bagi kategori Kewartawanan Kelestarian manakala tempat kedua dimenangi Jeeridyne Eve Chan Sue En dan Tan Tze Yung untuk Similajau National Park Turtle Conservation.
Anugerah Premier Sarawak bagi Kategori Penyiaran Televisyen dan Video Atas Talian dianugerahkan kepada Muhammad Hafeezzur Rahman Muzamir dan Mohamad Fiqri Razak bagi Siri Pertama Terung Asam Permata Sarawak dan Siri Kedua Terung Asam Dan Manfaatnya.
Pemenang tempat pertama membawa pulang RM3,000, tempat kedua RM2,000 manakala tempat ketiga RM1,000 bagi semua kategori. – TVS