KUCHING, 10 Dis: Program sambutan Tahun Baru 2023 peringkat negeri akan diadakan di Waterfront Kuching pada 31 Disember 2022 dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak (MSS).
Bertemakan ‘Lets Celebrate Together’ masyarakat Sarawak khususnya di Kuching akan disajikan dengan pelbagai persembahan hiburan menarik seperti kumpulan Hip Hop, kumpulan Gerini Tari Limbang dan The Little Bird Dion Das.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tema sambutan pada tahun ini amat tepat selepas dua tahun negara dilanda wabak pandemik COVID-19.
“Pada 31 Disember ini, akan adanya kiraan detik yang terakhir kalinya diadakan dua tahun lepas. Pada tahun ini akan dibuat secara fizikal di Waterfront Kuching bertemakan Lets Celebrate Together yang bermula daripada pagi dan program pengisian berbentuk persembahan muzikal pada sebelah petang. Ia merupakan program penting yang akan diadakan pada hari tersebut,” katanya ketika sidang media Countdown 2023 ‘Lets Celebrate Together’ semalam.
Tambahya, acara kemuncak pada Tahun Baru itu ialah persembahan bunga api berirama yang akan menjadi tarikan kepada semua.
“Persembahan bunga api berirama juga akan diadakan, kita berharap cuaca akan baik agar lebih ramai orang dapat memenuhi Waterfront. Saya berharap pengunjung yang datang akan bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan iaitu tidak membuang sampah merata-rata di sekitar Waterfront,” katanya lagi.
Sambutan Tahun Baru 2023 akan dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tasi Abang Johari Tun Openg dan beberapa menteri lain sebagai tetamu khas pada malam tersebut.
Pelbagai persembahan menarik bakal dipersembahkan oleh ramai artis terkenal seperti Dato’ Awie, Dato’ Aishah dan ramai lagi artis jemputan Sarawak kepada orang ramai seawal jam 4.30 petang di pentas utama di Waterfront Kuching. – TVS