KUCHING, 10 Dis: Pelantikan senarai Timbalan Menteri adalah keputusan berdasarkan prerogatif daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dedah Penganalisis Politik, Dr Nur Aida Kipli.
“Saya yakin bahawa pelantikan ini telah dibincangkan dengan penuh teliti dengan mengambil kira pelbagai elemen yang mengutamakan keberkesanan dalam melaksanakan kepelbagaian agenda nasional.
“Khidmat kepada rakyat haruslah diutamakan.Pelantikan ini juga akan dilihat sebagai pelengkap kepada barisan penuh tunjang pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada TVS.
Katanya lagi, gabungan mantap antara Menteri dan Timbalan Menteri dalam sesebuah kementerian haruslah dipraktikkan agar perancangan dan hala tuju kementerian itu akan beroperasi dengan sebaiknya.
“Penyampaian perkhidmatan yang efisien dan telus harus menjadi amalan bagi mengelakkan kecelaruan dan carca merba (mismanage) pengurusan,” tambahnya.
Pada masa yang sama, beliau berharap agar pelantikan itu akan dapat memperkukuhkan lagi integrasi dan kesepaduan nasional dalam negara agar kestabilan sosio-politik dapat direalisasikan, sekali gus dapat memacu ke arah pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi negara. – TVS