KUALA LUMPUR, 10 Dis: Malaysia mudah menumpaskan Kemboja 4-0 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam tadi, meskipun skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon beraksi tanpa ramai pemain utama.
Kemenangan selesa di hadapan 8,332 penyokong itu, menyaksikan pasukan negara yang diperkuatkan kebanyakan muka baharu, mengekalkan rekod cemerlang berdepan skuad ‘Angkor Warriors’ apabila memenangi kesemua pertemuan dalam tempoh 50 tahun sejak 1970.
Namun, kesebelasan utama yang diturunkan Pan Gon dilihat bergelut dalam mencari keserasian di awal permainan, selain hujan renyai dan permukaan padang becak menyukarkan permainan hantaran pendek sekali gus menjejaskan rentak pasukan.
Situasi itu bagaimanapun tidak menghalang pasukan negara daripada meledak gol pembukaan pada minit ke-11, berpunca gerakan ketua pasukan Mohamad Faisal Abdul Halim dari sebelah kiri, sebelum beliau tenang melambungkan bola menewaskan penjaga gol Hul Kimhuy.
Selepas penyerang Darren Lok dan pemain pertahanan Muhammad Azam Azmi Murad, masing-masing terlepas peluang keemasan menggandakan kedudukan, pemain naturalisasi Lee Tuck meletakkan Malaysia 2-0 selepas memanfaatkan hantaran Mohamad Faisal, dalam satu gerakan serangan balas pada minit ke-38.
Ia merupakan gol pertama Tuck pada penampilan sulungnya bersama pasukan negara.
Kemboja bimbingan Ryu Hirose bangkit mencipta serangan berbahaya menerusi rembatan deras pemain tengah Orn Chanpolin, namun gagal menemui sasaran sebelum Mohamad Faisal menjaringkan gol kedua peribadinya selepas bijak menyambar tolakan Darren, pada masa tambahan babak pertama.
Bersambung babak kedua perlawanan, Pan Gon membuat beberapa pertukaran dengan membawa masuk antaranya Muhammad Safawi Rasid, Mohd Nor Hakim Hassan dan seorang lagi pemain naturalisasi, Sergio Aguero dalam menguji kombinasi di bahagian serangan.
Kemasukan beberapa pemain tersebut nyata memberikan impak, namun buntu mencipta jaringan dan sebaliknya Kemboja terus tidak mengalah dalam memburu gol, dengan pemain gantiannya Keo Sokpheng mensia-siakan peluang terhidang apabila rembatannya pada minit ke-69, sedikit tersasar.
Menghampiri masa penuh, pemain tengah kacukan Malaysia-England Stuart Wilkin melengkapkan kemenangan 4-0 Malaysia selepas meraih gol pertamanya pada penampilan sulung dalam jersi pasukan negara apabila menyudahkan tangkapan kurang kemas Kimhuy pada minit ke-86.
Pada aksi malam tadi, selain Tuck dan Wilkin, penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, pemain kacukan Malaysia-Autralia David Rowley, Nur Shamie Iszuan Amin dan Muhammad Aliff Izwan Yuslan masing-masing membuat penampilan sulung bersama pasukan negara.
Pasukan negara seterusnya akan melengkapkan keseluruhan dua aksi antarabangsa Tier 1 bertemu Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Rabu depan sebelum memulakan kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dengan menentang Myanmar di Yangon dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada 21 Disember ini.
Malaysia kemudian akan menempuh saingan kumpulan berdepan Laos di sini pada 24 Disember, Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan melayani kunjungan Singapura di sini pada aksi terakhir kumpulan pada 3 Januari depan. – TVS