BINTULU, 10 Dis: Seorang lelaki terselamat selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan berhampiran Ladang Derawan Jalan Pesisir BIntulu-Miri awal pagi tadi.
Mangsa yang bekerja sebagai pekerja kilang berusia 31 tahun dikatakan sempat keluar menyelamatkan diri sebaik melihat bahagian enjin kereta jenis Proton Saga dipandu terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Hashim Norshidi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 3.40 pagi.
“Setibanya di lokasi kejadian jam 4 pagi, pasukan BBP Samalaju mendapati sebuah kereta sedang terbakar di lokasi kejadian kira-kira 30 kilometer dari balai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, anggota Bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk memadam sehingga api berjaya dikawal pada jam 4.10 pagi.
Akibat kebakaran itu, katanya, kereta tersebut terbakar sepenuhnya manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 4.21 pagi setelah pasukan Bomba memastikan keadaan sekeliling di tempat kejadian benar-benar selamat,” tambah beliau. – TVS