Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bersama kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, ketua-ketua bahagian dan sayap (Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu BERSATU) negeri pada Majlis Mesra Bersamanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada Jumaat. Foto: GRS

BERSATU tiada lagi, GRS gabungan parti Sabah sepenuhnya

KOTA KINABALU, 10 Dis: Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Sabtu mengumumkan pengunduran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah daripada gabungan tersebut, dan ahli-ahlinya akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Dalam kenyataan medianya, Hajiji berkata mereka telah mengambil keputusan sebulat suara untuk keluar dan meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“Kami membuat keputusan ini setelah mempertimbangkan keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutamanya di Sabah.

“Kerajaan Negeri, yang ditunjangi GRS-BN, juga telah mengambil kira nasihat Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu daripadanya adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan,” katanya.

Hajiji menegaskan, dengan keputusan tersebut, mereka akan menggunakan GRS sebagai wadah untuk menyuarakan kepentingan negeri-negeri Borneo dalam Malaysia.

“Kami yakin keputusan ini adalah yang terbaik bagi perpaduan dan kestabilan politik di Sabah.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun buat sementara ini, kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

“Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara,” katanya.

Hajiji menegaskan pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya juga adalah bagi memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.

“Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963, atau MA63, dilaksanakan sepenuhnya.

“Keputusan kepimpinan BERSATU Sabah untuk meninggalkan BERSATU adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

“Ini kerana pada peringkat persekutuan, BERSATU adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar untuk menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan,” katanya.

Hajiji berkata mereka mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah selain melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan rakyat kepada mereka dalam pilihan raya lalu.

“Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami menjadi ahli BERSATU,” katanya.

BERSATU Sabah merupakan parti komponen GRS bersama parti tempatan lain, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP), dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Menurut sumber, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BERSATU Sabah, termasuk dua ADUN lantikan, serta empat Ahli Parlimennya dijangka akan meninggalkan parti itu.

Mereka dipercayai akan menjadi ahli-ahli langsung GRS supaya tidak timbul lagi persoalan mengenai kedudukan mereka yang janggal bersama Perikatan Nasional yang kini menjadi pembangkang pada peringkat persekutuan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan